Saya sering menggelarkan Wangsa Maju sebagai Darul Kafe. Sesungguhnya hanya Tuhan saja tahu berapa banyak kafe yang tumbuh di kawasan ini. DBKL pun saya syak tak tahu berapa banyak kafe yang ada di kawasan ini, yang berlesen mahupun tidak.
Kali ini saya kembali ke Wangsa Maju untuk hadir ke acara Breaking Borders 5.0 di pangkin@ejklsseni. Bila sampai di pintu masuk EJKLS Seni, rupa-rupanya memang berdekatan tempat saya selalu lepak. Selama menetap di Wangsa Maju kira-kira setahun yang lepas (kini sudah berpindah), saya terlepas pandang wujudnya ruang acara indie di kawasan ini.

Breaking Borders 5.0 merupakan satu acara yang “cukup”, di mana mereka menggabungkan beberapa bentuk seni. Bermula dari seni lukis dan illustration, puisi, muzik dan juga persembahan. Dalam tulisan kali ini, saya tak dapat nak cover semua act dan artis yang ada. Bukan berniat pilih kasih, semua persembahan dan act pada acara malam itu semua menghiburkan dan bagus. Malam itu ada kira-kira 14 artis termasuk lukisan dan illustration. Saya akan highlight beberapa act yang menarik perhatian saya.
Setibanya di ruang acara, pentas masih belum dibuka dan orang juga masih belum ramai lagi. Bagusnya apabila datang awal, booth illustrator dan lukisan sudah siap set up. Jadi saya mengambil masa sedikit untuk menikmati dan melihat setiap hasil seni mereka. Waktu ini saya masih ambil mood, jadi hanya melihat sekali imbas. Nak bersosial juga masih belum panas enjin.
Lepas 15 minit, barulah pentas dibuka dengan Tinyrot, sebuah band indie rock. Masuk je performance Tinyrot terus buat kepala zupppp! Adrenalin terus naik. Saya tak dapat nak catat setlist malam itu, tapi lagu terakhir tu best and automatically became my favourite. Performance dari band ini juga boleh dikata, energetic. Rasa sayang baru discover mereka. Tinyrot, kalau ada chance, saya nak tengok sekali lagi band ini perform live.
Waktu saya tengok poster Breaking Borders 5.0, satu nama saja yang saya kenal — Petak Daud.
Menghadiri Breaking Borders 5.0 seolah-olah bawa saya naik satu roller coaster malam tu. Lepas adrenalin tinggi melayan Tinyrot, pentas masuk ke acara puisi yang buatkan mood berubah slow. Petak Daud membawakan beberapa puisinya; Mendengar Kundasang, Balada Penghijrahan Buruh dan Biaya Siswa II.
Saya agak menikmati suasana senyap yang ada dalam ruang pangkin ini ketika Petak membawakan puisinya. Puisi-puisinya membawakan rasa terhimpit, kecewa dan amarah golongan bawahan dengan realiti hidup masing-masing. Terutama sekali Balada Penghijrahan Buruh dan Biaya Siswa II yang menceritakan tentang realiti pekerja asing dan pelajar yang berhijrah dan bekerja di ibu kota.
Pentas seterusnya hadir membawakan Han Royani, seorang stand up comedian. Bagi saya, komediri adalah puncak tertinggi sebuah komedi. Kau memerlukan sebuah otak genius untuk pull out the show. Awalnya saya agak skeptikal, risau keadaan akan menjadi terlalu sunyi yang mana seterusnya menjadikan suasana terasa janggal. Namun Han nampak selesa dengan pentasnya. Komedinya banyak bermain sekitar cerita-cerita pengalaman hidupnya. Bermula dari membesar di luar negara sehingga menjadi pelakon tambahan filem tempatan. Walaupun ada hit and miss, saya suka dan terhibur.
Next act yang saya nak highlightkan adalah Suicidal Sax Machine. Saya sempat baca profil band ni sekejap sebelum mereka naik pentas. Menggelarkan diri mereka sebagai sebuah band genre-fluid, sebuah band yang tidak kekal dengan satu genre saja.
Stay Miserable, Bitch!, Flushing Down My Toilet Bowl dan Bridges antara lagu yang mereka bawakan malam itu. Pertama kali mendengarkan mereka, saya tak pasti apa nama genre lagu-lagu yang dibawakan. Setakat ini saya tak jumpa lagi band lokal yang bawakan lagu-lagu seperti mereka ini. Somehow lagu-lagu mereka mengingatkan saya dekat lagu Trouble Is A Friend dari Lenka (tapi saya rasa macam tak kena juga!)
Saya nak highlightkan sedikit tentang artis-artis seni visual yang ada pada malam itu, antaranya @somehow_green, @nasransairan, @artdumple dan @nozu.zuno. Semua karya mereka membawakan identiti masing-masing.
Kalau ada yang menarik perhatian saya, ia adalah @somehow_green. Haida, artis di sebalik pseudonym ini menggambarkan sisi baru mental health melalui warna hijau di dalam seninya, seolah memaknai sesuatu yang segar dan baru. Seolah menggambarkan satu perjalanan tumbuh yang baru. Setiap satu karyanya connected to each other, membuatkan saya lagi impressed dengannya.
Persembahan kegemaran saya malam itu datang dari Effa Qamariani yang membawakan spoken word poetry. Sehabis Effa menyampaikan puisi keduanya, ada unsettled feelings dalam diri saya. Puisi kedua itu merupakan tribute Effa kepada Pannir Selvam, rakyat Malaysia yang dihukum gantung di Singapura pada tahun 2025. Dia betul-betul menyampaikan rasa melalui puisinya, ada beberapa orang yang turut menangis mendengarkan puisinya. Saya sempat berborak dengan Effa usai persembahan, mengucapkan terima kasih atas sebuah penulisan yang sangat cantik.
Artist terakhir yang saya nak ketengahkan ialah Yon.dershore. Walaupun masih darah muda, saya sekarang lebih menghargai muzik-muzik yang slow dan tenang. Nak dibandingkan waktu remaja dulu yang lebih gemarkan muzik rock dan lebih keras. Lepas dan Di Sana, dua lagu dari penyanyi ini membawa saya tenggelam dalam muzik mereka. Yon.dershore, lepas daripada malam itu, saya masukkan lagu-lagu mereka dalam playlist lagu tenang saya.
Breaking Borders 5.0 adalah suatu acara yang merapatkan dua sempadan. Sempadan pertama adalah sempadan antara seni yang kita ada, apabila mereka meletakkan semua cabang seni ini di bawah satu bumbung yang sama. Yang keduanya, sempadan yang selama ini terbina antara karya indie dan juga masyarakat. Saya yang datang ke acara ini, tanpa sebarang ekspektasi, meninggalkannya dengan rasa percaya masih banyak bakat tempatan perlu dilihat, diangkat dan diberikan ruang untuk berkarya.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada maingayong@gmail.com.




